Sunday, December 6, 2009

Kedah tangguh dulu dasar kuota 50%

Kerajaan Kedah dah buat keputusan menangguhkan pelaksanaan dasar baru perumahan yang menetapkan kuota 50 peratus untuk bumiputera. Berapa lama tak tau. Tapi depa kata sehingga satu garis panduan baru yang lebih jelas dikeluarkan.

Menurut Datuk Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi, Exco perumahan (dan…banyak sangat portfolio, tak larat nak tulis), keputusan itu dibuat selepas pihaknya mengadakan perjumpaan serta perbincangan dengan wakil-wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan parti-parti politik pelbagai kaum.


"Tangguh dulu pelaksanaan kuota 50 peratus ini sebab nampak ada pihak tak puas hati dengan dasar ini dan kita akan cari kaedah yang lebih munasabah untuk menyelesaikan masalah ini.

"Kita tak mahu ada yang kata dasar yang dibuat ini, tidak adil dan isu perumahan jadi berlarutan, sebab kuota 50 peratus tu bukan dasar umum, yang beri gambaran seolah-olah semua keadaan tanah mesti ada 50 peratus kuota untuk bumiputera,” katanya.